Sign In
Web Creator

MAJLIS PENANDATANGANAN KONTRAK PERJANJIAN PEMBEKALAN JENTERA LIGHT FIRE ATTACK VEHICLE (LFAV) DAN THE SUPPLY, DELIVERY, INSTALLATION, TESTING AND COMMISSIONING OF E-GATES

IMG_7840.JPG

​1. Majlis Penandatanganan dua Kontrak Perjanjian iaitu Pembekalan Jentera Light Fire Attack Vehicle (LFAV) dan The Supply, Delivery, Installation, Testing and Commissioning of E-Gates telahpun diadakan pada hari Isnin, 10hb., Safar 1447 bersamaan dengan 4hb., Ogos 2025 bertempat di Dewan Serbaguna, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri. 

2. Hadir selaku Tetamu Kehormat bagi menyaksikan Majlis Penandatanganan tersebut ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri. 

3. Majlis juga dihadiri oleh Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, Ketua-Ketua Jabatan serta pegawai-pegawai kanan di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan pegawai-pegawai dari Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan. Majlis juga turut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan daripada Pejabat Peguam Negara serta pegawai-pegawai dari Brunei Engineering Logistics and Training Solutions Sendirian Berhad (BELTS) dan Information Technology Protective Security Services Sendirian Berhad (ITPSS). 

4. Penandatanganan kontrak perjanjian bagi pembekalan sebanyak empat (4) buah jentera jenis Light Fire Attack Vehicles (LFAV) telahpun ditandatangani oleh Yang Mulia Awang Salminan bin Haji Burut, Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri bersama Yang Mulia Azmi bin Haji Hafneh, Pemangku Pengarah Bomba dan Penyelamat bagi pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, manakala bagi pihak BELTS telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Muhammad Noh bin Haji Madali beserta Ketua Pegawai Operasi syarikat berkenaan iaitu Awang Fadhlan bin Julaihi, selaku syarikat pembekal projek. جابتن ايميڬريسين دان ڤندفترن كبڠسأن JABATAN IMIGRESEN DAN PENDAFTARAN KEBANGSAAN 2 

5. LFAV merupakan jentera baharu yang direka khas untuk meningkatkan keupayaan Jabatan Bomba dan Penyelamat sebagai pasukan tindak balas awal (first responder) dalam menangani insiden kecemasan seperti kemalangan jalan raya dan kebakaran struktur di kawasan berisiko tinggi, terutamanya di lokasi yang sukar diakses oleh jentera berat bomba, termasuk kawasan luar bandar dan pedalaman. Kenderaan ini akan dapat menyokong Rancangan Strategik Jabatan Bomba dan Penyelamat terutama yang berkaitan dengan kecekapan operasi dan masa-masa bertindak untuk menghadiri panggilan kecemasan, selaras dengan objektif memperkukuh keselamatan awam dan kebajikan masyarakat melalui penyediaan aset logistik dan taktikal yang sesuai dengan cabaran dan landskap operasi semasa. 

6. Sementara itu, kontrak perjanjian bagi The Supply, Delivery, Installation, Testing and Commissioning of E-Gates telahpun ditandatangani oleh Yang Mulia Awang Salminan bin Haji Burut, Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri bersama Yang Mulia Awang Haji Azmi bin Haji Abdul Rahim, Pemangku Pengarah Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, manakala bagi pihak IT Protective Security Services Sendirian Berhad telah ditandatangani oleh Yang Mulia Awang Shamsul Bahri bin Haji Kamis, Ketua Pegawai Eksekutif bersama Yang Mulia Azman Iskandar bin Ariffin, Ketua Pegawai Maklumat selaku syarikat pembekal projek. 

7. E-gates merupakan kiosk layan diri yang dilengkapi dengan teknologi biometrik seperti pengecaman muka dan pengesahan identiti individu dalam proses pemeriksaan imigresen secara automated. Tujuan utama projek ini adalah untuk meningkatkan lagi efisiensi proses pemeriksaan dan ‘clearance’ keluar masuk di pos kawalan secara automatik dan lebih pantas, sebagai salah satu usaha Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan dalam menambahbaik perkhidmatan Jabatan dengan mengoptimumkan penggunaan teknologi digital.

8. Projek-projek Pembekalan Jentera Light Fire Attack Vehicle (LFAV) dan Projek pembekalan E-gates ini adalah merupakan projek-projek di bawah Rancangan Kemajuan Negara Ke-12, dimana LFAV dikendalikan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat manakala E-Gates adalah projek Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan. 

9. Majlis diakhiri dengan bacaan doa selamat oleh Pegawai Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Haji Yusri bin Haji Ahmad.​

Created at 23/08/2025 9:24 PG by syamsul.takong
Last modified at 23/08/2025 9:24 PG by syamsul.takong
Berita Terkini //